Isnin, 17 September 2012

VIDEO KEM PEMANTAPAN SAHSIAH

VIDEO KEM PEMANTAPAN SAHSIAH



satu perkhemahan yang mencatat kenangan terindah...murid-murid beri kerjasama yang amat baik...disiplin mereka sangat bagus. Terima kasih yang terhingga.

REFLEKSI PENGAYAAN DALAM P&P


            REFLEKSI PENGAYAAN DALAM P&P

Setelah hampir 15 tahun bergelar pendidik, saya berpendapat pendidikan pengayaan perlu dilaksanakan oleh setiap guru.  Namun, kerap kali pengayaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tidak dilaksanakan sepenuhnya.  Terdapat segelintir guru yang meminta murid cerdas, membimbing rakan sebaya untuk menyiapkan latihan yang diberi oleh guru.  Ini merupakan amalan yang baik kerana melalui aktiviti tersebut murid-murid berpeluang mendalami dan meluaskan pengetahuan dan pengalaman mereka dalam sesuatu tajuk yang telah diajar oleh guru.  Biasanya di dalam satu-satu bilik darjah, murid-murid boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan cerdas, kumpulan sederhana dan kumpulan lambat.  Murid-murid dalam kumpulan cerdas dan sederhana menghadapi masalah pembelajaran kerana bosan dengan aktiviti yang tidak setimpal dengan minat dan perkembangan mental mereka.  Bagi memenuhi keperluan murid cerdas dan sederhana, guru telah menyediakan pendidikan pengayaan sebagai aktiviti tambahan yang boleh menarik minat dan mencabar kebolehan mereka.  Program pengayaan ialah aktiviti sekumpulan murid-murid yang menjalani pembelajaran pada tahap yang tinggi daripada kumpulan murid yang sama usia.
            Pengayaan ialah program untuk memberi aktiviti-aktiviti tambahan kepada murid-murid yang dapat menguasai satu-satu kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih daripada itu.  Aktiviti pengayaan melibatkan murid-murid yang berpencapaian tinggi atau cerdas dalam kumpulan seusia mereka.  Setiap guru maklum bahawa murid-murid cerdas dan pintar adalah cepat dalam menyiapkan latihan, kerja atau aktiviti yang diberikan kepada mereka.  Pengayaan dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan di dalam atau di luar bilik darjah. Saya pernah melaksanakan aktiviti pengayaan kepada murid-murid cerdas dan kesannya amat baik.  Aktiviti pengayaan dapat membuka peluang kepada murid-murid untuk mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, bakat kepimpinan serta dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri dan kumpulan.
            Saya juga berpendapat, aktiviti pengayaan adalah untuk membolehkan murid-murid menjalani aktiviti yang lebih mencabar kebolehan mereka di samping menambah minat dan pengalaman yang dapat membantu ke arah perkembangan diri dan bakat mereka.  Aktiviti ini juga mampu menarik minat murid untuk belajar sendiri dan mempunyai sikap berdikari untuk membolehkan mereka, meneruskan pembelajaran serta melahirkan daya kreativiti.  Oleh itu, program pengayaan perlu diberi penekanan kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat dan minat di dalam bilik darjah yang sama.  Aktiviti pengayaan dalam pengajaran dan pembelajaran  Bahasa Melayu tertumpu kepada bacaan dan tulisan. Aktiviti pengayaan melalui pembacaan adalah sumber-sumber bahan bacaan yang terdiri daripada kad-kad cerita, buku-buku cerita dan majalah-majalah berunsurkan pendidikan.  Aktiviti pengayaan adalah bercorak belajar kendiri, hasil aktiviti dibincangkan dengan guru.
Bahan-bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan dan bahan-bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran, dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.  Murid-murid ini diberikan bahan yang berbeza-beza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru.  Aktiviti pengayaan dalam bentuk penulisan, disediakan dalam bentuk lembaran kerja. Cara ini bertujuan menarik minat murid untuk mengeja dan menulis perkataan.  Kadang-kala, aktiviti seperti silang kata atau perkataan tersembunyi juga disediakan. Aktiviti-aktiviti pengayaan mestilah yang bersifat membantu murid mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari.  Aktiviti pengayaan boleh dilakukan serentak dengan pemulihan dalam pengajaran dan pembelajaran.  Semasa murid-murid cerdas dan sederhana menjalankan aktiviti pengayaan, murid-murid lambat menjalankan aktiviti pemulihan. Arahan yang jelas  diberikan kepada kumpulan murid cerdas dan sederhana agar mereka dapat menjalankan aktiviti pengayaan tanpa bimbingan guru.  Guru boleh menumpukan sepenuh perhatian dan membantu murid-murid pemulihan.
            Pada pendapat saya, pengayaan boleh dijalankan secara individu atau berkumpulan. Aktiviti pengayaan yang dijalankan mestilah menarik, mencabar dan bersesuaian dengan kebolehan, minat dan bakat murid yang berbeza-beza. Jika pengayaan tidak dijalankan semasa proses pengajaran dan pembelajaran, murid-murid dari kumpulan cerdas dan sederhana akan berasa bosan, terhadap pelajaran kerana aktiviti pembelajaran tidak sejajar dengan minat dan perkembangan mental mereka seterusnya mencetuskan masalah disiplin. Situasi ini sering dilihat di semua sekolah yang pernah saya berkhidmat.  Murid-murid dari kumpulan cerdas dan sederhana tidak diberi aktiviti pengayaan dalam pengajaran dan pembelajaran, sebaliknya disuruh senyap agar tidak mengganggu rakan-rakan lain menyiapkan kerja. Situasi seperti ini tidak seharusnya berlaku.  Sepatutnya, murid-murid cerdas ini boleh diminta oleh guru untuk membantu rakan-rakan sebaya yang menghadapi sedikit kesukaran dalam pembelajaran.
            Aktiviti pengayaan yang dijalankan secara tidak formal, di mana guru hanyalah sebagai pendorong dan penggalak kepada murid-murid untuk memilih dan menjalankan aktiviti yang telah disediakan. Aktiviti sedemikian sesuai dilakukan untuk murid-murid Tahap Dua. Bagi murid cerdas dan sederhana, bimbingan khusus daripada guru kurang diperlukan kerana kebanyakan aktiviti pengayaan yang diberi adalah berbentuk belajar sendiri.   Justeru, untuk memudahkan pengelolaan bilik darjah guru perlu memberi lebih tumpuan kepada murid yang lambat.  Memandangkan murid-murid lebih senang berinteraksi dan belajar dengan rakan-rakan sebaya, guru mendapatkan bantuan murid-murid yang cerdas untuk membantu murid-murid yang lambat, semasa menjalankan aktiviti secara individu atau berkumpulan. Cara ini bukan sahaja berfaedah kepada murid-murid lambat tetapi secara tidak langsung dapat meningkatkan pengetahuan dan pengalaman murid-murid cerdas.  Di samping itu, bakat kepimpinan murid cerdas dapat dikembangkan dan memupuk semangat kerjasama di kalangan murid.  Setelah murid-murid selesai menjalani sesuatu aktiviti, hasil kerja mereka hendaklah dipamerkan sebagai tanda penghargaan.
            Oleh itu, adalah diharapkan dengan adanya program pengayaan dalam pengajaran dan pembelajaran, setiap murid bukan sahaja mengikuti suasana pembelajaran yang lebih menarik dan menggembirakan tetapi juga, dapat mengembangkan aspek fizikal, emosi, minat, kebolehan, daya cipta dan bakat individu secara menyeluruh. Setiap pelajar yang telah menguasai aras masteri, mereka boleh meneruskan pembelajaran dengan mengikuti aktiviti pengayaan.